Tahniah! Shaheizy Sam dan Syatilla Sah Bakal Kahwin 8 Februari
Selepas enam tahun berkawan rapat, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, Shaheizy Sam, 34, mengumumkan bakal berkahwin dengan Syatilla Melvin pada 8 Februari depan.
Pengumuman hari ini secara tidak langsung mengesahkan gosip percintaan mereka yang sekian lama bertebaran. Pasangan ini memilih tarikh berkenaan untuk disatukan sebagai suami-isteri sempena ulang tahun hari lahir ke-25 pelakon wanita itu. Majlis pernikahan akan diadakan di rumah keluarga Syatilla di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Sehari selepas acara akad nikah, kedua-duanya akan diraikan dalam majlis resepsi di Bukit Jawi Golf Villa. Pada 14 Februari pula, majlis resepsi sebelah pengantin lelaki akan berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, di sini. Pasangan selebriti ini juga merancang untuk meraikan hari bahagia mereka bersama peminat di sebuah lokasi yang belum ditetapkan lagi.
"Selama ini, saya bukan berniat untuk merahsiakan hubungan kami. Bagaimanapun sekitar lima bulan lalu, saya berasakan dialah yang benar-benar bertakhta di hati.
"Selama ini pun, hidup saya banyak dihabiskan dengan mencari duit untuk keluarga. Cuma, sesekali tidak saya nafikan, soal peribadi membabitkan perasaan ada terlintas di hati.
"Apabila perkara itu datang, saya lebih banyak mengetepikannya kerana berasakan tanggung jawab saya lebih kepada keluarga. Saya bukan datang daripada keluarga yang senang.
"Dalam diri, kemahuan untuk terus mencari duit tidak pernah putus. Bagaimanapun Alhamdulillah, akhirnya jodoh saya datang dan saya yakin Tilla (panggilannya untuk Syatilla) adalah pilihan tepat untuk hidup bersama saya hingga ke jannah. Insya-Allah," kata Sam dalam temubual diadakan di Hotel Sunway Putra, pagi tadi.
Pelakon Adnan Sempit itu mengakui pada usianya kini, dia sudah bersedia dan cukup matang untuk membina keluarga sendiri. Pengalaman menjaga keluarganya selama ini menjadi bekalan berharga untuk anak bongsu pelakon, Khaty Fauziah, itu untuk memikul tanggung jawab sebagai suami.
"Saya percaya, Tuhan juga akan membantu saya melaksanakan tanggung jawab baharu nanti. Tiada apa pun yang berubah, cuma tanggung jawab saya terus bertambah kerana ada keluarga baharu akan hadir dalam hidup," katanya yang menghadiri kursus kahwin baru baru ini.
Mengenai Syatilla, Sam menyifatkan wanita terbabit mempunyai hati yang tulus dan sangat memahami.
"Hatinya sangat kuat dan dia seorang yang amat penyabar. Dia langsung tidak pernah memberikan tekanan kepada saya, termasuk dalam soal berkaitan kerjaya seni. Barangkali kerana dia juga seorang pelakon, jadi dirinya faham apa yang harus dilalui," ujar yang turut menganggap Syatilla bukan sekadar cantik, tetapi memiliki hati yang bersih.
Shaheizy Sam dan Syatilla Sah Bakal Kahwin 8 Februari! |
Sementara itu, Syatilla pula melihat Sam sebagai lelaki yang sangat telus dalam perhubungan mereka.
"Selain hatinya yang baik, dia juga sebenarnya sangat manja orangnya. Maklumlah dia anak bongsu.
"Apa yang membuatkan hubungan kami bertahan ialah hatinya yang sangat jujur. Tiada rahsia antara kami. Selama ini juga, kami saling menyokong antara satu sama lain dan sentiasa berada di belakang diri masing-masing," kata Syatilla yang memaklumkan, dia dirisik ibu Sam pada 13 Disember lalu di Pulau pinang.
Katanya, mereka sudah pun membuat persiapan perkahwinan sejak Disember lalu dan dia gembira kerana semuanya berjalan lancar walaupun ia dilakukan pada saat akhir.
Post a Comment