#HEBAT~Sambutan Hebat Konsert Amal Siti Nurhaliza Di KLCC
Siti menyampaikan 15 buah lagu pada konsert yang berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada malam Jumaat. Foto NORAFIFI EHSAN.
KUALA LUMPUR: Konsert Amal Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat malam mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan badan korporat dalam usaha membantu golongan memerlukan.
Konsert yang diadakan selama dua jam bermula pukul 9 malam itu adalah satu usaha berterusan Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa untuk menambah dana Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan mereka bagi tujuan kebajikan.
"Keuntungan bersih yang dapat dikutip pada konsert amal ini akan disalurkan terus kepada Yayasan Nurjiwa bagi membolehkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik dapat diberi," katanya kepada media selepas konsert berkenaan di sini pada Jumaat.
Objektif penubuhan Yayasan Nurjiwa adalah untuk pembangunan agama seperti membina masjid dan surau-surau, kebajikan anak-anak yatim, bantuan kemasyarakatan dan juga modal insan.
Menyerlah...Kemantapan vokal Siti tidak perlu dipertikaikan.
Turut berangkat menyaksikan persembahannya ialah Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan isteri, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu dalam persembahannya itu Siti Nurhaliza menyampaikan kira-kira 15 buah lagu yang dipilih daripada koleksi lagu-lagu popular serta karya terbaharu yang belum pernah dinyanyikan.
Permulaan kosertnya dimeriahkan dengan rangkaian lagu Siti Situ Sana Sini dan Jalinan Cinta diikuti Kesilapanku Keegoanmu, Purnama Merindu, Nian Di Hati serta JeratPercintaan, Kau Mawarku, Bukan Cinta Biasa, Kau Kekasihku dan Ku Mahu.
Persembahan Siti turut diiringi oleh penari yang tampil dengan busana sopan.
Tidak dilupakan Siti turut berkongsi kenangan kisah kemalangan suaminya di New Zealand menerusi Jaga Dia Untuk Aku.
Hazama juga turut tampil mendendangkan lagu popularnya iaitu Relakan Jiwa.
Menariknya menerusi konsert amal ini, Siti memberi peluang kepada peminatnya untuk bertanyakan soalan-soalan bagi menghargai usaha mereka membeli tiket menyaksikan acara itu selain sokongan mereka terhadapnya selama ini.
Konsep pentas berwarna putih turut dimeriahkan dengan penampilan Siti bersama koleksi busana menarik hasil rekaan Hata Dolmat, Riezman Ruzaini, Zery Zamri, Qudyn dan Izwan Ismail.
Dalam pada itu Siti juga berkongsi pengalamannya menjadi peminat Erra Fazira dan Ziana Zain yang turut bersama menyaksikan konsertnya itu.
Kata Siti, semasa menyertai sebuah pertandingan anjuran RTM, dia telah memilih lagu popular Ziana iaitu Kemelut Di Muara Kasih sehingga layak ke peringkat separuh akhir.
Manakala minatnya kepada Erra pula bermula ketika primadona itu melawat ke sekolahnya di Kuala Lipis, Pahang tetapi beliau malu untuk mengambil gambar.
Tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan dijual daripada RM88 hingga RM800.[mStar]
Post a Comment