Header Ads

#PERTANDINGAN~30 filem sertai 17 festival filem antarabangsa

Jailani 

SEBANYAK 30 buah filem tempatan dihantar untuk menyertai 17 festival filem antarabangsa setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

 Beliau berkata, antara filem itu ialah 'Jagat', 'Munafik', 'Ola Bola' dan 'Polis Evo'.

 "Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga bercadang untuk menghantar filem 'Redha' menyertai festival filem antarabangsa kategori bahasa asing untuk anugerah Oscar pada tahun depan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasid (BN-Kota Tinggi) pada persidangan Dewan Rakyat.

 Noor Ehsanuddin ingin tahu kejayaan yang dicapai sejak Dana Industri Kreatif Negara diperkenalkan.

 Jailani berkata, pasaran filem tempatan telah menjana hasil jualan sebanyak RM57.6 juta sepanjang tahun ini.

 Terdahulu, Jailani berkata, bagi tempoh 2010 hingga 2014, projek Dasar Industri Kreatif telah berjaya menghasilkan sebanyak 28,799 pekerjaan baharu, hasil pelaburan kira-kira RM684.8 juta dan jualan media sebanyak RM11.29 juta.

 Beliau berkata, industri kreatif telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan serta pembangunan.

 "Selain itu, 'Content Malaysia Pitching Centre (CMPC)' yang ditubuhkan pada 2015 antara inisiatif kementerian bagi membantu perkembangan industri kreatif negara," katanya. � Bernama

No comments

Powered by Blogger.