#TAHNIAH: Pelakon Shazleen Shahbi Lahirkan Sepasang Bayi Kembar
Comel... sepasang bayi kembar ini dilahirkan Shazleen pada Isnin lalu.
Shazleen, 40, berkata, dia bersyukur kerana ramai yang prihatin dan memberikan petua serta teknik penjagaan terbaik bagi penjagaan bayi kembar.
"Penjagaan anak kembar agak berbeza dan saya banyak mencari info menerusi Internet mengenai pemakanan untuk mereka dan bertanya kepada orang-orang yang berpengalaman tentang cara menjaga dan menyusukan mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Shazleen melahirkan sepasang bayi kembar kira-kira pukul 9 pagi Isnin lalu di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, dekat sini.
Shazleen mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Badrul Hisham Md Isa, pada tahun 2002 dan turut dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Alham Akhyar, 11, Putri Dulillah, 7, dan Putri Doa, 3 tahun.
Dalam pada itu, Shazleen berkata, dia tidak mahu terlalu teruja dengan persiapan menyambut kelahiran bayi kembar bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.
Shazleen Shahbi
"Sudah tentu ada yang dengki atau iri hati, jadi saya lebih suka tidak terlalu menunjuk-nunjuk tentang perasaan gembira itu," ujar yang masih belum menamakan bayinya itu.
Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan kerjaya lakonan, pelakon filem Layar Lara dan Momok The Movie ini mengakui terpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan melupakan bidang lakonan.
"Saya tidak ada masa lagi untuk berlakon kerana sibuk menguruskan anak-anak lebih-lebih lagi dua orang sudah bersekolah.
"Lagi pula kami memang tidak percaya dengan pembantu untuk menjaga mereka terutama bila dengar berita-berita buruk tentang pembantu rumah," katanya.
Selain itu, bercakap tentang masa depan anak-anaknya, Shazleen berkata, dia tidak pernah menghalang jika mereka berminat untuk mengikuti jejak langkahnya sebagai pelakon.
Bagaimanapun dia lebih menitikberatkan soal pendidikan dan agama sebelum membenarkan mereka menceburi dunia seni.[mStar]
Post a Comment