#TULAR ~Video Suka-Suka Hang Pi Mana popularkan Omar Kaiho
Kaiho bersama rakan-rakan di dalam studio ketika menjayakan rakaman single bertajuk 'Malaysia yang ku cinta'.
Ia bermula dengan sebuah video lagu �Hang Pi Mana� (kumpulan Khalifah) yang dinyanyikannya bersama seorang rakan secara suka-suka yang dimuat naik ke laman sosial Facebook, dan kemudian menjadi tular sekelip mata, Disember tahun lalu.
Video tersebut menarik perhatian netizen kerana melibatkan dua warga Afrika yang mampu menyanyikan lagu Melayu dengan baik tanpa pelat.
Sejak itu laman Facebook milik Omar Kaiho, 30, mula dihujani permintaan menjadi rakan selain mesej masuk bertalu-talu yang ingin mengenali personaliti dirinya lebih dekat.
Begitu pun, pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (pengkhususan IT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim ini punya kisahnya tersendiri di sebalik tular video �Hang Pi Mana�.
Dari suka-suka menjadi tular
Ramai yang meneka lagu Hang Pi Mana mungkin hanya dihafal Kaiho, namun hakikatnya pemuda berasal dari Namibia ini memang petah berbahasa Melayu, malah boleh menulis bahasa kebangsaan dengan begitu baik.
�Jujurnya, pada mulanya saya tak tau pun ada lagu ni (Hang Pi Mana). Saya ada buat projek video-video pendek bertajuk �Celup-Celup� untuk page Projek Komedi di Facebook.
Satu hari penerbit suruh saya dengan seorang kawan hafal lagu Hang Pi Mana sebelum rakaman.
Jadi Disember tahun lepas saya pun search lagu ni di YouTube dan dapati muziknya boleh tahan sedap.
�Saya pun praktis sikit-sikit sampai boleh hafal dan nyanyi dengan baik. Saya muat naik video di Facebook pada 20 Disember, dan setakat ni dah cecah 290,000 penonton," katanya dengan bahasa Melayu yang fasih.
Menceritakan pengalamannya menguasai bahasa Melayu, Kaiho berkata, ia bermula tiga tahun lalu sejak pertama kali sampai ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Upsi.
�Tahun 2013 masa mula sampai Malaysia saya memang tak tahu apa. Tapi saya rajin belajar dan bercakap dengan kawan-kawan di universiti.
Lepas tu saya juga suka bergurau dan belajar bahasa daripada pemandu-pemandu bas Upsi sebab mereka semua sporting.
�Kemudian saya beranikan diri masuk pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu untuk Piala Perdana Menteri.
Memang gila sebab hanya pelajar tempatan dan Indonesia saja yang kebanyakannya masuk.
Tak pernah menang, tapi saya puas hati,� katanya yang juga pernah memenangi pertandingan Pidato Bahasa Indonesia di kedutaan Indonesia pada 2015.
Terpikat keindahan Islam
Kaiho yang peramah ini juga mengakui tidak pernah mengikuti sebarang kelas bahasa Melayu secara formal selain subjek asas yang dipelajarinya pada semester satu lepas.
�Saya ada kawan baik namanya Fajar dari Indonesia. Dialah yang rajin tuliskan skrip untuk pertandingan pidato bahasa Indonesia tu.
Saya hafal dengan baik dan Alhamdulillah, menang,� katanya.
Kaiho atau nama sebenarnya Kaiho Rikambura ini juga baru memeluk agama Islam pada September tahun lepas atas keikhlasannya sendiri.
�Bukan sebab saya ramai kawan Melayu, tapi saya melihat yang agama Islam ini indah.
Dulu masa saya jadi penganut Kristian, saya selalu pertahankan Islam kalau dengar orang cakap benda yang tak baik. Bila sampai Malaysia, saya hairan tengok orang Islam boleh duduk dengan harmoni tanpa sebarang gangguan dengan masyarakat agama lain.
Mereka saling hormat-menghormati.
�Masa tu saya juga selalu baca al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan mendapati semua mesej dalam kitab suci ini adalah baik dan adil.
Dari situ saya mula jatuh cinta dengan Islam,� katanya kepada Sinar Harian.
Selain bahasa ibunda dan Melayu, Kaiho juga menguasai enam bahasa lain termasuk bahasa Inggeris, Indonesia, Mandarin dan dua bahasa dari Afrika.
Bakal lahirkan single
"Kalau ada rezeki saya nak jadi penyanyi juga pelakon, Insya-ALLAH.
Sekarang saya dah rakam satu single bertajuk 'Malaysia yang ku cinta', memang khusus untuk rakyat negara ini.
Tapi buat masa ni saya tengah fokus kepada pelajaran, mungkin pertengahan tahun ini baru mulakan langkah.
Harry (daripada kumpulan Khalifah) yang tulis single ini bersama boss MVM Productions (Music Valley Malaysia), Encik Hadi.
"Saya juga banyak berlakon video pendek untuk beri mesej kepada rakyat negara ini supaya bangga dengan makanan mereka.
Contohnya kami ada buat video tentang rakyat Malaysia yang sibuk nak tengok liga bola sepak Inggeris, tapi saya dan seorang rakan lagi, Rhys William, dari United Kingdom pula lagi suka tonton liga bola sepak tempatan.
Nampak macam ada unsur sindiran, tapi sebenarnya kamu mahu orang Malaysia bangga jadi diri sendiri.
"Saya ada satu impian saja, nak masuk showbiz Malaysia untuk buktikan bahawa orang berkulit hitam datang sini bukan nak jual dadah atau scam saja.
Ada yang betul-betul ada bakat dan perlu diambil perhatian," katanya yang menggemari makanan tempatan seperti nasi penyet dan rendang ayam.[SH]
Post a Comment